MAKAM PANGLIMA MAT BERANI – SYAHID DI MEDAN PERTEMPURAN
PAHANG-Makam ini ialah milik Panglima Mat Berani yang dikatakan telah shahid sewaktu memerangi angkatan kafir Portugis yang menyerang Melaka. Dikatakan Panglima Mat Berani ini datang dari Pahang dan telah bergabung dengan angkatan tentera Melaka bagi memerangi angkatan perang Portugis. Beliau juga turut mengikuti sultan Melaka terakhir iaitu Sultan Mahmud Shah berundur ke hulu Muar bagi merangka strategi baru menentang Portugis.
Sewaktu di hulu Muar inilah Panglima Mat Berani dan pengikut-pengikutnya telah membina sebuah kubu pertahanan yang dikenali sebagai Kota Pagoh. Kemuncak kepada perjuangan orang-orang Melayu terhadap Portugis ialah serangan pihak Portugis terhadap Kota Pagoh.
Panglima Mat Berani dan para pengikutnya telah memberikan tentangan yang sengit kepada pasukan kafir Portugis. Menurut catatan sejarah juga ada menyatakan bahawa Kota Pagoh ini terlalu kuat dan kukuh untuk dialahkan. Pihak Portugis dikatakan melancarkansebanyak tiga kali serangan besar sebelum Kota Pagoh berjaya di tewaskan.
Namun demikian, Panglima Mat Berani gugur shahid di Kota Pagoh. Kejatuhan Kota Pagoh membuatkan pertahanan angkatan perang Melaka semakin goyah sehingga menyebabkan Sultan Mahmud Shah seterusnya berundur ke Pahang dan akhirnya ke Kampar Sumatera. Namun demikian, orang-orang Melayu tidak pernah berdiam diri untuk menawan semula Melaka. Malahan kerajaan Johor dan Perak yang mewarisi garis keturunan kesultanan Melayu Melaka juga pernah bergabung untuk menawan semula Melaka.
Batu nisan Aceh yang menjadi tanda kepada makam ini menunjukkan bahawa pemiliknya bukan calang-calang orangnya. Saya meyakini bahawa suatu ketika dahulu para pembesar, raja-raja dan kerabatnya serta yang mempunyai darah bangsawan akan menempah dahulu batu nisan sewaktu mereka masih hidup.
Batu nisan itu akan dibawa kemana sahaja mereka pergi bagi memudahkan urusan pengebumian. Ada juga makam-makam tertentu yang sebelumnya ditanda dengan batu nisan jenis biasa sebelum ahli keluarganya menukarkan batu nisan lamanya dengan batu nisan dari jenis Aceh ini.
Kitab Tamadun Melayu
Penulis :Mohammad sulaiman